Pada amnya tanah mempunyai maksud yang agak luas dan ini jelas diperlihatkan di dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara di mana, seksyen tersebut memberikan tanah yang luas iaitu:
tanah termasuklah:
a) mukabumi dan semua benda yang menjadikan mukabumi itu
b) tanah bumi di bawah mukabumi dan semua benda-benda yang terkandung di dalamnya
c) semua tumbuh-tumbuhan dan lain-lain keluaran semulajadi, samada memerlukan penggunaan tenaga berkala pengeluarannya atau tidak dan samada di atas atau di bawah mukabumi itu
d) semua benda yang terlekat pada tanah bumi atau lekatkan selama-lamanya pada apa-apa benda yang terlekat pada tanahbumi, samada di atas atau di bawah mukabumi itu,
e) tanah yang diliputi air
Dalam pada mentafsirkan seksyen 5 adalah agak mudah untuk mengenalpasti kehendak seksyen 5 (a) + (b) di mana ianya merujuk kepada bahagian atas + bawah mukabumi, manakala seksyen 5 (c) pula merujuk kepada tumbuhan ataupun tanaman yang akan dianggap sebagai sebahagian daripada tanah. Seksyen 5 pula merujuk kepada tanah pantai dan juga dasar laut.
Tetapi ianya adalah sukar untuk mentafsirkan secara literal maksud seksyen 5 (d) yang merujuk kepada semua benda yang terlekat kepada tanah atau terlekat selama-lamanya. Pada amnya , adalah mudah untuk hanya mentafsirkan bahagian yang merujuk kepada 'lekat selama-lamanya' kerana ini boleh difahami sebagai merujuk kepada rumah atau bangunan. Tetapi, yang menjadi isu adalah bahagian yang menyatakan 'semua benda yang melekat kepada tanah'.
Apakah yang dimaksudkan sebagai semua benda yang melekat kepada tanah dan apakah takat perlekatan yang harus dicapai untuk benda itu dianggap sebagai sebahagian daripada tanah mengikut interpritasi tanah di bawah seksyen 5 Kanun Tanah Negara?
Bagi mengatasi isu ini, rujukan harus dibuat kepada kes Holland v Hodgson di mana Blackburn J memutuskan bahawa :
'..articles not otherwise attached to the land than by their own weight are not to be considered as part of the land , unless the circumstances are such as to show that they were intended to be part of the land , the onus of showing that they were so intended lying on those who assert that they have ceased to be chattels and that on the contrary an article which is affixed to the land even slightly is to be considered part of the land , unless the circumstances are such as to show that it was intended all along to continue as a chattel , the onus lying on those who contend it is a chattel.
.. satu benda yang terlekat sedikit kepada tanah akan dianggap sebagai sebahagian daripada tanah kecuali keadaan menunjukkan bahawa ianya diniatkan untuk menjadi chattel secara berterusan...'
Kes Holland v Hodgson sememangnya memberikan pendekatan terhadap pentafsiran perkataan tanah di bawah seksyen 5. Namun demikian , adalah penting untuk diutarakan di sini bahawa kes tersebut juga menyatakan bahawa beban bukti adalah terletak di atas pihak yang inginkan benda yang lekat itu dianggap sebagai satu chattel. Maka pentafsiran yang boleh dibuat di sini adalah bahawa Holland v Hodgson hanya memberikan satu anggapan terhadap benda yang terlekat kepada tanah dan anggapan ini adalah merupakan anggapan yang boleh dibatalkan. Kes Holland v Hodgson ini telah diterimapakai oleh kes Goh Chong Hin & Anor v The Consolidated Malay Rubber Estates Ltd di mana Sproule CJC telah menyatakan bahawa ;
I have no doubt that we are to apply in this country the ordinary English law of fixtures. It is well settled by that law that prima facie machinery affixed to earth... by bolts and nuts, becomes a fixture and part of the land.
Saya tidak mempunyai keraguan bahawa kami perlu menggunakan prinsip undang-undang Inggeris berkenaan dengan pelekatan. Ianya adalah jelas daripada prinsip perundangan tersebut bahawa secara prima facie , sebarang jentera yang telah dilekatkan kepada tanah dengan menggunakan bol dan nat, akan menjadi satu perlekatan dan akan menjadi sebahagian daripada tanah.
Keputusan Goh Chong Hin & Anor v The Consolidated Malay Rubber Estates Ltd ini telah diterimapakai oleh kes Socfin Co Ltd v Chairman, Klang Town Council. Dalam kes The Shell Company of the federation of Malaya Ltd v Commissioner of the Federal Capital of Kuala Lumpur, mahkamah telah menekankan satu perihal yang penting, iaitu bahan yang terbenam di dalam tanah itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada tanah. Di dalam kes ini, isu yang telah dipertikaikan adalah samada tangki minyak di bawah tanah itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada tanah dan mahkamah telah berpendapat bahawa ianya adalah sebahagian daripada tanah.
keadaan di mana tanah telah dicagarkan kepada bank
Apabila tanah telah dicagarkan kepada pihak bank, maka, segala yang telah lekat mati di atas tanah itu dicagarkan bersama kepada pihak bank . Maka segala yang lekat mati di atas tanah yang telah dicagarkan kepada bank dan ianya akan menjadi milik bank sebagai penerima cagar. Ini adalah termasuk segala bahan yang menjadi lekat mati di atas tanah selepas perjanjian cagaran itu dimasuki . Dalam pada itu, pencagar tidak berhak untuk mengeluarkan sebarang bahan lekat mati daripada tanah tersebut sebelum suatu perintah jualan ataupun selepas satu perintah jualan telah dibuat mengikut ss 256 dan 263 Kanun Tanah Negara.
Masalah mungkin timbul apabila tanah yang telah dicagarkan itu mempunyai bahan lekat mati yang telah dibeli oleh pencagar daripada seorang penjual dan penjual tersebut telah memelihara hakmiliknya. Dalam keadaan sedemikian , persoalan yang mungkin timbul adalah, bolehkan penjual yang masih belum menerima bayaran penuhnya mengeluarkan bahan lekat mati itu daripada tanah yang telah dicagarkan.
Di dalam kes Gebrueder Bueler AG v Peter Chi Man Kwong & 2 lagi, mahkamah telah memutuskan bahawa hanya pihak penerima cagar sahaja yang boleh mengeluarkan bahan lekat mati dan hak penerima cagar ini diutamakan berbanding dengan hak penjual yang belum berbayar. Prinsip ini juga telah diterima oleh kes Wiggins Teape (M) Sdn Bhd v Bahagia Trading Sdn Bhd. Pengecualian kepada prinsip yang telah ditetapkan oleh kes Gebrueder Buehler AG v Peter Chi Man Kwong adalah kes Sri Kajang Rock Products Sdn Bhd v Maybank Finance Berhad & 2 orang lagi di mana mahkamah putuskan bahawa jikalau penerima cagaran telah mempunyai pengetahuan / notis berkenaan dengan transaksi di antara penjual dan pencagar maka penjual seharusnya berkuasa untuk mengeluarkan bahan lekat mati daripada tanah yang dicagarkan.