Allah berkata dalam surah Muhammad, ayat 38,
' Ingatlah, kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit harta benda di jalan Allah. Tetapi ada di antara kamu yang berlaku bakhil. Sesiapa yang berlaku bakhil, sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil pada dirinya sendiri . Ingatlah Allah itu Maha Kaya sedangkan kamu semua orang yang miskin. Apabila kamu berpaling daripada beriman, bertakwa dan menderma, dia menggantikan kamu dengan kaum lain yang tidak lagi berkeadaan seperti kamu'
Punca kebakhilan adalah mencintai dunia secara berlebihan , takut miskin dan hati yang selalu runsing dan tidak bahagia. Akibatnya diri mudah diserang gangguan seperti nyanyuk dan sukar tidur, Kesedihan yang berpanjangan menyebabkan kita musah diserang penyakit paru-paru.
Marah adalah manifestasi kesedihan dan kesombongan. Perasaan marah menyebabkan tangan menggeletar , wajah memerah dan jantung berdegup kencang. Perasaan marah membebankan otak, pembuluh darah dan jantung. Kemarahan yang berulang-ulang menunjukkan orang itu menderita penyakit hati. Dia juga terdedah kepada risiko penyakit darah tinggi, angin ahmar, kemurungan, penyakit saraf pusat, sakit jantung dan vertigo / gayat.
Terdapat perbezaan antara pola pemikiran berasaskan perubatan nabi dan pola pemikiran berasaskan perubatan moden. As-Suyuthi menyatakan penyakit dapat disebabkan beberapa perkara iaitu gangguan udara, salah makan/minum , kekeliruan gerak, rehat yang sedikit / berlebihan, respon emosi yang berlebihan, istirehat emosi yang berlebihan, tidur dan berjaga yang tidak seimbang, adanya cecair yang berlebihan serta gangguan pengeluaran cecair tubuh.
Rehat berlebihan dapat melemahkan jasmani dan jiwa dan menyebabkan terkumpulnya tenaga / chi di dalam tubuh. Akibatnya, nutrien makanan tidak dapat diserap dengan baik. Peredaran darah juga menjadi perlahan sehingga menyebabkan gangguan pada jantung dan otak. Nabi ada mengajar sepotong doa,
' Allahumma inni a'udzubika minal hammi wal hazn, wa a'udzubika minal ajzi wal kasal, wa a'udzubika minal jubni wal bukhl, wa a'udzubika min gholabatid-dain wa qohri rijaal.'
Jalan rohaniah mukmin bermula dengan sikap sabar pada segala ujian yang dihadapi, bersyukur atas segala kurniaannya dan ikhlas dengan ketentuannya. Sikap sabar pula dimanifestasikan dalam bentuk usaha yang dilakukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi, berdoa memohon kekuatan dan pertolongannya dan berserah diri kepadanya. Pengembangan rohani yang baik dapat menyihatkan diri.
Menjaga kesihatan adalah melindungi diri daripada udara sejuk dan panas, menghindari agin terutama pada waktu malam dan meminimumkan kesan pencemaran. Pemakanan tidak seimbang sama ada kurang makan, makan secara berlebihan , ataupun komposisi makanan yang tidak mengandungi semua nutrien yang diperlukan mengganggu keseimbangan tubuh dan mendatangkan penyakit.
Tindakan membiarkan badan berada dalam kedudukan tidak ergonomik buat masa yang lama menyebabkan kerosakan sendi. Pada masa yang sama, gerakan badan yang tidak dapat dikawal dapat menyebabkan anggota badan terkehel, patah tulang dan lain-lain gangguan kepada gerakan badan. Selain itu, gerakan yang berlebihan juga menyebabkan kerosakan otot, kerosakan rawan dan kecederaan saraf. Dalam jangka masa panjang pula , ia dapat menyebabkan pembengkakan jantung.
Nabi juga memberikan panduan cara tidur yang betul. Cara tidur yang terbaik adalah dengan mengiringkan badan ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala. Mengiringkan badan ke kiri semasa tidur dikhuatiri menekan perut. Ini menganggu proses pencernaan. Ia juga menekan jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung, mengganggu irama dan kemampuannya mengepam darah.
Udara juga dapat menyebabkan penyakit. Masyarakat umum memanggilnya masuk angin. Namun begitu, istilah masuk angin tidak wujud dalam perubatan barat. Meskipun demikian, apabila diperhatikan , penyakit dapat timbul akibat perubahan cuaca. Perubahan suhu yang melampau, angin yang berkelajuan tinggi dan pencemaran udara dapat menurunkan daya tahan tubuh daripada jangkitan. Ia juga mengganggu metabolisme tubuh.
Nabi menyarankan supaya kita membasuh tangan sebelum makan, sedangkan pada masa itu manusia belum pernah melihat kuman. Namun begitu, Nabi sedar tangan sering menyentuh benda yang mungkin dicemari pelbagai kuman. Kuman yang masuk ke dalam perut menyebabkan penyakit yang bukan sahaja sukar dieksan malah sukar diubati.
Dalam masyarakat kita, terdapat ramai orang memerlukan bantuan kewangan . Selain maembayar zakat, kita digalakkan bersedekah bagi meringankan penderitaan yang dialami golongan miskin. Nabi berkata ,
' sembuhkan penyakitmu dengan bersedekah'
Orang yang sedang sakit digalakkan bersedkah supaya Allah meringankan penderitaannya. Ini kerana dengan bersedekah, penyakit dapat dicegah, penderitaan diringankan dan penyembuhan dipercepatkan.
Berwaspadalah dengan kesan penyakit hati kepada kesihatan saudara. Sifat dengki , sombong, suka memfitnah dan pendendam meningkatkan risiko dijangkiti barah dan hepatitis. Al-Ghazali menyatakan dendam menyebabkan barah. Sifat dengki pula merosakkan beberapa organ utama dan menyebabkan gangguan hormon. Ini seterusnya menyebabkan timbulnya penyakit seperti kencing manis.
Direkodkan oleh Bukhari, Nabi berkata ,
' Sifat iri hati itu memakan kebaikan seperti api memakan sekam.'
Kebaikan di sini bermaksud kebaikan yang dikehendaki manusia termasuklah kesihatan. Orang yang iri hati mudah diserang penyakit kencing manis, penyakit jantung, hyperthyroid, penyakit hati, sakit buah pinggang dan ulser kronik. Ini kerana iri hati menyebabkan penghasilan hormon kortisol dan adrenalin. Kedua-dua hormon ini menyebabkan glukoneogenesis atau pembentukan gula di dalam darah meningkat dan mengganggu degupan jantung.
Penyakit hati adalah gejala yang menunjukkan sikap ataupun perilaku yang salah dalam kehidupan manusia. Ia menimbulkan kesan buruk kepada kesihatan. Kata Ibn Qayyim, tiga faktor yang menyebabkan penyakit hati adalah sering melakukan maksiat , gemar berfoya-foya dan mencintai dunia secra berlebihan. Al-Quran menyebut dalam surah Al-Imran, ayat 14, 6 perkara yang dicintai manusia hingga mereka lupa harga dirinya adalah wanita , anak, perhiasan, kuda / kenderaan, ternakan atau pelaburan, ladang / perniagaan.
Rasulullah berkata mengikut rekod Bukhari dan Muslim,
' Tidak masuk syurga orang yang hatinya merasa sombong sebesar biji sawi. sahabat bertanya, - "Ya Rasulullah, adakah memakai baju dan kasut yang cantik dianggap sombong?" Rasulullah menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan. Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain." Menolak kebenaran menyebabkan gangguan jiwa . Menghina orang lain pula menyebabkan penyakit gangguan pencernaan , vertigo, angin ahmar, neuropati, dan serangan jantung.
Nabi menggalakkan senaman. Senaman yang digalakkan Nabi adalah berenang , menunggan kuda, dan memanah. Berenang dapat menguatkan otot tanpa membebankan sendi secara berlebihan. Menunggang kuda pula meningkatkan ketangkasan bergerak dan memberikan kemampuan kepada kita memanfaatkan daya tuil [leverage] demi kepentingan hidup . Memanah pula meningkatkan kewaspadaan dan membantu membiasakan diri menumpukan perhatian.
Ramai orang mempunyai berat badan berlebihan dan mengalami kesukaran menurunkannya. Allah memberitahu prinsip diet yang luar biasa. Inilah diet bagi menangani segala penyakit dan bagi menurunkan berat badan..
' Makan dan minumlah dan jangan berlebihan'.
Para ulama mengatakan ayat ini memberikan separuh rahsia hidup sihat. Dalam ayat lain, Allah berkata,
' Makanlah rezeki Allah yang halal dan baik.'
Manusia diciptakan Allah dalam bentuk yang sempurna sementara manusia yang paling sempurna bentuknya ialah Nabi. Anas Bin Malik menggambarkan kecantikan Nabi,
'Nabi berkulit cerah, cara berjalannya tegap, tangannya lembut, badan dan bajunya sentiasa bersih serta baunya sentiasa harum.'
Semoga Allah memberikan kesempatan kepada kita bertemu dengan nabi dan mendapat syafaatnya di akhirat kelak. Amin ya rabbal alamin.