Kita kembali kepada Allah s.w.t, dalam tujuan-Nya menurunkan cabaran dan kesukaran.
"Patutkah manusia menyangka, mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, 'Kami beriman' , sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan sesungguhnya, Kami menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), jelas apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benar beriman, dan jelas pula apa yang diketahui oleh-Nya tentang orang-orang yang berdusta."
[ Surah Al-Ankabut, ayat 2-3]
Nyata, tujuan ujian hakikatnya ialah tapisan. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah, iaitu tempat kita mendapat natijah. Tetapi, dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, bagi menguji peserta-peserta di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sama.
Dan ujian bukan semata-mata tapisan. Tetapi ujian jugadatang sebagai pembalasan ataupun pembersihan ataupun peringatan.
"Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)
[ Surah Ar-Rum, ayat 41]
Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah s.w.t. hapuskan terus apabila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, kaum Nabi Nuh majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar.
Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah s.w.t hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya. Ia bertujuan memberikannya 'tamparan peringatan' akan keadaan dirinya. Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk panggilan Allah s.w.t. agar para hamba-Nya yang selama ini alpa, merapat kepada-Nya. Lihat ayat Allah s.w.t. :
"Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada waktu itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata. Kemudian apabila Allah menyelamatkan mereka ke darat, maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakan-Nya). Dan sememangnya tiada yang memungkiri bukti-bukti kemurahan Kami, melainkan setiap orang yang bersifat memungkiri janji , lagi tidak mengenang budi."
[Surah Luqman, ayat 32]