Ada manusia rasa ditinggalkan Allah s.w.t.
Dia berasa, allah s.w.t berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Apabila dia berasa dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.
Akhirnya, dia lelah. Kekuatannya kontang. Latas dia merosot jatuh, berlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana, dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.
Tetapi, benarkah Allah s.w.t meninggalkan?
Kebersihan Iman
Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah s.w.t. Sebab itu kita mampu mengikuti syariat-Nya, perintah-Nya, walaupun kadangkala seperti sukar sedikit dan membebankan.
Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain jikalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa selama 30 hari. Wanita lain memakai apa yang mereka suka. Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.
Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Jikalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah s.w.t. kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian.
Tetapi, iman adalah apa yang meningkatkan akal waras kita daripada biasa, kepada luar biasa. Sehingga kita faham, Allah s.w.t tidak memberikan kita perkara yang sia sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah kewarasan kita. Bukan maddi (material) semata-mata.
Jadi, keimanan yang bersih membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah s.w.t. dan mustahil Allah s.w.t memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita
Ada tujuan.
Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukan petanda Allah s.w.t. meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itu adalah tanda Allah s.w.t. sedang memandang kita.