Sunday, December 4, 2016

Prinsip Undang-Undang Kontrak

Undang-Undang Kontrak boleh kita dapati sama ada menerusi keputusan mahkamah dari masa ke semasa ataupun dari statut. Undang-undang yang dipakai ialah Akta Kontrak 1950 untuk tujuan membincangkan undang-undang kontrak. Pada asalnya Akta Kontrak 1950 hanya terpakai di Negeri-negeri Melayu sahaja iaitu pada 23 Mei 1950. Kemudian Akta ini disemak semula pada tahun 1974 dan dikenali sebagai Akta Kontrak 1950 [semakan 1974] dan seterusnya diperluaskan lagi pemakaiannya ke Pulau Pinang, Melaka , Sabah dan Sarawak mulai 1 Julai 1974. Sebelum tarikh tersebut, keempat-empat negeri berkenaan telah menggunakan undang-undang kontrak inggeris setakat yang sesuai dengan keadaan tempatan.

Meskipun prinsip undang-undang kontrak dibawa dari England, namun undang-undang kontrak Malaysia pada asasnya mempunyai persamaan dengan undang-undang kontrak India. Ini kerana akta kontrak 1950 yang asal itu dipadankan daripada akta kontrak India 1872 yang mencontohi pula undang-undang Inggers cuma diubahsuai dalam aspek tertentu. Seperti dinyatakan dari awal, prinsip undang-undang kontrak Malaysia dipengaruhi oleh undang-undang kontrak Inggeris. Ini dibuktikan oleh fakta sejarah perundangan di Malaysiasendiri di mana undang-undang Inggeris dikenali sebagai Common Law + Kaedah Ekuiti dibawa masuk ke nagara ini melalui keputusan Mahkamah dari masa ke semasa, dan melalui statut.

 Namun demikian, pemakaian prinsip undang-undang Inggeris ini adalah tertakluk kepada dua syarat:
1. ianya terpakai di dalam ketiadaan statut tempatan mengenai perkara yang hendak diputuskan
2. hanya undang-undang Inggeris yang bersesuaian dengan keadaan tempatan sahaja boleh dipakai

Pemakaian undang-undang sedemikian dapat dilihat secara jelas dalam keputusan kes Shaik Sahied Abdullah v Sockalingam Chettiar. Pada 1 Januari 1879, Ordinan undang-undang sivil 1878 telah dikuatkuasakan di negeri-negeri selat [Melaka, Pulau Pinang, Singapura] di mana seksyen 6 Ordinan memperuntukkan:

Dalam semua soal atau isu yang selepas ini mungkin perlu diputuskan di jajahan ini mengenai undang-undang perkongsian, syarikat stok bersama, syarikat, bank, prinsipal , ejen, insurans laut. Dan mengenai undang-undang perniagaan secara am, undang-undang yang mesti dipakai di England dalam kes yang sama, pada masa yang bersetentangan dengannya, jika soal atau isu seperti itu telah timbul atau perlu diputuskan di England, melainkan dalam mana-mana statut yang sekarang dikuatkuasakan di jajahan ini atau selepas ini akan dikuatkuasakan: kecuali tiada sesuatu yang terkandung di sini boleh dianggap membawa masuk ke jajahan ini mana-mana bahagian undang-undang Inggeris yang berkaitan dengan undang-undang pemegangan tanah

Sementara itu enakmen undang-undang sivil 1937 pula mula dikuatkuasakan di negeri negeri melayu bersekutu [ Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan] pada 12 Mac 1937, Seksyen 2 enakmen memperuntukkan:

(1) melainkan ada terdapat peruntukan lain yang kini atau selepas ini dibuat oleh mana-mana undang bertulis di negeri-negeri melayu bersekutu, Common law Inggeris dan kaedah ekutiti, sebagaimana yang dikuatkuasakan, hendaklah dikuatkuasakan di negeri-negeri melayu bersekutu, melainkan terdapat pengubahsuaian undang-undang atau kaedah-kaedah tersebut oleh statut: dengan syarat Common Law dan Kaedah Ekuiti tersebut akan berkuatkuasa di negeri-negeri melayu bersekutu setakat mana diizinkan oleh hal keadaan yang terdapat dalam negeri-negeri melayu bersekutu dan oleh penduduknya dan tertakluk kepada pengecualian yang dianggap oleh hal keadaan perlu oleh hal keadaan setempat

Enakmen undang-undang sivil 1937 ini meudiannya telah diperkenalkan pemakaiannya ke negeri Johor, Kedah Kelantan, Perlis dan Terengganu apabila Ordinan undang-undang sivil 1951 diluluskan oleh kerajaan. Secara keseluruhannya pengiktirafan kemasukan Common Law dan Kaedah Ekuiti Inggeris ke negara kita berlaku pada tahun 1956 apabila akta undang-undang sivil 1956 diluluskan dan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia pada 7 april 1956, manakala di Sabah dan Sarawak pula pada 1 April 1972. Seksyen 3 (1) akta menyatakan bahawa :

melainkan terdapat peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang dikuatkuasakan di Malaysia, Mahkamah hendaklah: 

(a) di Malaysia barat atau mana-mana bahagiannya, memakai Common Law dan Kaedah Ekuiti seperti mana yang dipakai di England pada 7 April 1956

(b) di Sabah, memakai Common Law dan Kaedah Ekuiti serta statut Am yang dipakai di England pada 1 disember 1951

(c) di Sarawak, memakai Common Law dan Kaedah Ekuiti serta Statut Am yang dipakai di England pada 12 Disember 1949 : Dengan syarat Common Law dan Kaedah Ekuiti dan Statut Am tersebut hendaklah dipakai hanya setakat hal keadaan negeri-negeri di Malaysia dan penduduknya mengizinkan dan juga tertakluk kepada pengubahsuaian setakat yang perlu disebabkan hal keadaan setempat.

Berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan di atas, dapatlah kita membuat kesimpulan iaitu sekiranya timbul isu atau permasalahan yang perlu diputuskan, Mahkamah di Malaysia hendaklah memakai prinsip udang-undang kontrak yang terdapat di England sekiranya statut atau undang-undang bertulis tempatan berkaitan isu tersebut tiada. Ini dapat dilihat dalam kes JM Wotherspoon & Co. Ltd. v Henry Agency House. Hakim Suffian ketika memutuskan persoalan mengenai del credere menyatakan :

Ordinan Kontrak [ negeri-negeri melayu] tidak mempunyai peruntukan tentang soal ini, dengan merujuk kepada seksyen 5 (1) Ordinan Undang-undang sivil. undang-undang yang terpakai di England boleh dipakai di sini

Kes tersebut kemudiannya disokong oleh Hakim Gill dalam persoalan yang sama seperti yang diputuskan dalam kes Royal Insurance Group v David. Walaubagaimanapun samada Akta Kontrak Malaysia dianggap undang-undang yang lengkap atau tidak, kesimpulannya dapat dibuat iaitu undang-undang mengenai perkara yang diperkatakan dalam akta itu hendaklah menyeluruh. Apabila kita merujuk kepada tajuk yang ada dalam buku ini, rujukan masih perlu dibuat kepada prinsip undang-undang Inggeris dan dalam situasi tertentu kita perlu membuat perbandingan Sekiranya terdapat percanggahan antara Akta Kontrak dan prinsip undang-undang Inggeris, maka Akta Malaysia terpakai. Ini dinyatakan dalam kes Song Bok Yoong v Ho Kim Poui.


✿Done writing~ thanks for reading✿