Monday, May 23, 2016

Berdikari

coretan/nukilan dari Hilal Asyraf

Berdikari. Saya selalu mendengar bahawa usul-usul perkataan ini adalah berdiri di atas kaki sendiri. Kebenarannya, saya pun tidak tahu. Tetapi , apa yang saya tahu berdikari membawa maksud mampu berusaha sendiri dan tidak mengharapkan orang lain. Dari kecil satu perkara yang  saya sasarkan kepada diri saya adalah berdikari. 

Tetapi, satu perkara yang saya silap. Pada suatu masa dahulu saya mendefiniskan berdikari sebagai tidak perlu langsung pada mak dan ayah. Mungkin sebahagian definisi itu betul. Tetapi saya ini terarah kepada sebahagian yang tidak betul. Mungkin ada yang berkata, mana salahnya dengan definisi itu? 

Ah, mungkin saya yang salah.

Apabila saya faham tidak bergantung pada mak ayah
Ada banyak peristiwa dalam kehidupan yang menyebabkan saya betul-betul berusaha untuk berdikari. Tetapi saya kira, cerita-cerita itu hanya terbenam dalam diri saya dan tidak akan saya ceritakan kepada umum. Berdikari yang saya maksudkan ialah memutuskan pergantungan daripada ibu bapa saya. Jadi, apabila saya faham berdikari adalah begitu, dan berazam pula untuk ke arah itu, maka saya membentuk satu kekerasan dalam diri. 

Saya menjadi orang yang tidak pernah mengadu kepada Mak dan Ayah. Agak teruk sedikit di mana saya menjadi orang yang tidak berkongsi cerita dengan Mak dan Ayah. Saya banyak membesar di dalam bilik sekiranya tiada hal dan kebanyakan masa saya habis dengan pelbagai aktiviti di luar rumah. Tidak banyak masa duduk-duduk bersama Mak dan Ayah, bersembang itu dan ini. 

Saya masih ingat ketika tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus menyibukkan diri dengan mengendalikan pelbagai program remaja. Saya kira masa lapang saya di rumah ketika itu hanya seminggu dua. Tamat sahaja program-program itu say terus bekerja di Sekolah Rendah Agama Ghufran (SRAG), Simpang Renggam dan agak jarang pulang ke rumah. 

Tamat pekerjaan saya di SRAG, saya terus menyambung pengajian kembali ke Perlis. Kemudian selepas satu tahun setengah, saya terus terbang ke Jordan. Ditambah pula dengan dari tingkatan 1 tinggal di asrama , saya memang boleh hidup tanpa Mak dan Ayah. Tidak pernah mengadu akan markah yang teruk. Hanya mahu menunjukkan kepada mereka sisi cemerlang saya. Saya tidak kaan bercerita melainkan apa-apa yang baik sahaja yang berlaku kepada saya. Itu pun lebih kepada untuk menunjukkan bahawa , "Hilal sudah mampu berdikari. Tengok, Hilal mampu buat semua ini tanpa bantuan mak dan ayah"

Sampai satu tahap saya pernah berkata kepada Mak dan Ayah saya,
                         " Apa-apa yang Mak dan Ayah beri pada Hilal, duit yuran sekolah, bil elektrik, air, sewa rumah dan semua duit belanja yang pernah diberikan semua itu Hilal anggap sebagai hutang. Nanti sudah besar, Hilal bayar semula."


Saya nampak itu adalah berdikari. Saya bersungguh-sungguh mencapai semua itu. Sebab itu saya sentiasa belajar untuk mencari duit sendiri. Saya tidak pernah meminta Mak dan Ayah membelikan saya itu dan ini. Saya akan beli dengan duit saya sendiri, yang saya kumpul, yang saya dapatkan dengan usaha saya sendiri. Sebab itu saya sangat gembira apabila Allah memberikan saya peluang kepada saya menjadi seorang penulis. Saya terasa seperti benar-benar sudah berdikari. 

Tinggal, saya banyak kali sahaja gagal membeli semua barang dengan duit sendiri, apabila Mak melarangnya. Mak juga mahu membayar. Saya pernah merasakan itu mencalarkan maruah saya sebagai orang yang hendak berdikari. Itulah saya sedikit masa yang lalu. 

Kesannya pada saya
Kesannya, saya kehilangan satu perkara yang berharga iaitu kehangatan kasih sayang mak dan ayah. Mak dan ayah begitu menyayangi saya, sebagaimana mereka menyayangi anak-anak yang lain. Tetapi disebabkan kefahaman berdikari saya tadi saya kurang mampu merasainya. Ini adalah kekurangan yang menakutkan. Ibu bapa sebenarnya adalah sesuatu yang besar dalam kehidupan. Kasih sayang mereka adalah energi memandangkan redha mereka redha Allah, selagi mereka tidak redha kepada perkara yang dimurkaiNya. Maka kehilangan mereka daripada jiwa kita, hakikatnya satu kekosongan besar yang patut diraihnya semula. 

Walaupun kita mampu mencapai satu tahap yang tinggi tanpa merasai kehangatan kasih sayang ibu bapa, saya percaya kita sepatutnya mampu mencapai tahap yang jauh lebih tinggi sekiranya kita merasainya.

Saya menyedarinya ketika jatuh sakit
Saya menyedari hal ini ketika saya jatuh sakit teruk pada hujung tahun 2010. Saya tidak pernah sakit seperti itu. Sakit itu daripada segi zahirnya nampak seperti demam teruk. Tubuh saya panas. Ditambah dengan musim sejuk sakit itu terasa seperti menghancurkan tubuh saya. Tetapi apa yang lebih pada sakit itu adalah satu perasaan takut datang. saya tidak pernah ada rasa takut yang sebegitu. Sukar saya hendak ceritakan bagaimana takut yang saya maksudkan ini. Tetapi perasaan itu yang menjengah hingga saya merasakan bahawa saya hampir mati.

Pada ketika ini saya teringatkan mak dan ayah. Secara tidak langsung kehidupan remaja saya hingga menengah dewasa terimbas. Baru saya perasan, dari remaja hingga dewasa masa saya terlalu sedikit dengan kedua-dua orang tua saya. Ditambah dengan sikap saya yang memahami berdikari sebagai tidak bergantung pada ibu bapa, saya merasakan mak dan ayah selama ini sudah kehilangan seorang anak.

Saya terfikir ketika saya sakit itu, jikalau mati sekarang bagaimana? Jikalau terjadi apa-apa pada mak dan ayah sebelum sempat balik Malaysia, bagaimana? Ada beberapa peristiwa lagi semasa cuti saya di Malaysia yang menambah perasaan itu. Akhirnya, ketika itulah saya melihat kehilangan saya di mana saya melihat kesilapan saya dalam memahami maksud berdikari. Akhirnya buat pertama kali saya menangis apabila menelefon mak. Ajaibnya saya tidak pula rasa malu. Bahkan saya berasa lega merendahkan diri kepada mak pada ketika itu. Saya berasa lega mengadu kekurangan itu, kekurangan ini. Saya lemah dalam hal itu, susah mahu buat yang ini. Setakat ini, tiada kelegaan yang dapat menewaskan kelegaan itu. 


Penutup; Ibu bapa tiada ganti
Maka sebenarnya definisi berdikari tidak bergantung pada ibu bapa itu adalah satu kesilapan. Saya melihat mahu tidak mahu kita sepatutnya bergantung pada ibu bapa kita tetapi bukanlah meletakkan semua tanggungjawab di atas pundak mereka tanpa kita sendiri melatih diri bertanggungjawab. Kita sendiri perlu belajar mencari duit, perlu belajar menguatkan diri agar tidak menyusahkan mereka. Tetapi kita jangan buang terus ibu bapa dari kehidupan kita. 

Mengadu akan kekurangan kita kepada ibu bapa bukan satu pengurangan kepada berdikari. Duduk dengan mereka dan membiarkan mereka memanjai kita, membayarkan untuk kita bukanlah satu kekurangan kepada berdikari. Banyak meluangkan masa dengan mereka bukanlah satu pengurangan kepada berdikari. Hakikatnya, ibu bapa ini suka apabila kita memerlukan mereka. Hati ini juga akan tenang apabila kita meletakkan diri kita dalam jagaan mereka sebab selain ibu bapa kita tiada yang akan mampu memberikan perasaan yang sama. 

Sekiranya kita menjaga hubungan dengan kedua ibu bapa, nescaya Allah memberikan kekuatan yang tidak terhingga kepada kita. Ketenangan dan kebahagiaan yang sebelum ini kita tidak pernah rasa. 
Saya yakin, sebab saya pernah melaluinya.


✿Done writing~ thanks for reading✿