SELEPAS 20 TAHUN TERHALANG, RANG UNDANG-UNDANG MAHKAMAH SYARIAH AKHIRNYA DIBENTANG DI PARLIMEN *USUL DIBAWA EMPAT KALI SEJAK 1995 [PINDAAN RUU MAHKAMAH SYARIAH (BIDANG KUASA JENAYAH) 2016
Hadi ketika membentangkan pindaan pada Sidang Dewan Rakyat, semalam.
Kuala Lumpur;
Presiden PAS , Datuk Seri Hadi Awang, semalam mencipta sejarah menjadi Ahli Parlimen pembangkang pertama membentangkan RUU Persendirian mengenai RUU Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016. Beliau membentangkan RUU Mahkamah Syariah [bidang kuasa jenayah] pindaan 2016 itu bagi menggantikan seksyen 2. Selepas membentangkan usul, Hadi meminta ia dibahaskan dalam sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.
Kuasa ke atas penganut Islam
RUU itu dibentang untuk dibahaskan bagi membolehkan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri, di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan. Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengekukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (2) supaya usul RUU Pertahanan Awam yang diletakkan dalam aturan urusan mesyuarat kedua persidangan semalam.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul Azalina untuk membolehkan Hadi membentangkannya berlandaskan peraturan mesyuarat 14 (2) yang memperuntukkan Majlis Mesyuarat dengan dikeluarkan usul [oleh seorang menteri]. Namun beberapa Ahli Parlimen Pembangkang membantah usul Azalina dan mahu Pandikar Amin tidak membenarkannya kerana RUU Mahkamah Syariah terletak di aturan mesyuarat ke-15. Antara yang lantang membantah adalah Anthony Loke [DAP Seremban], Teresa Kok [DAP Seputeh], Chong Chieng Jen [DAP Bandar Kuching], Khalid Abdul Samad [PAN Shah Alam] dan Michael Jeyakumar Devaraj [DAP Sungai Siput].
Ketika ditemui pemberita kemudian, Hadi berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan usul RUU Persendirian untuk meluluskan RUU Mahkamah Syariah [bidang kuasa jenayah] pindaan 2016 dibentangkan.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan usul ini dibuat" katanya.
Beliau berkata, usul persendirian yang dibawa PAS sebanyak 4 kali sejak 1995 itu akhirnya diterima untuk dibentangkan. Mengulas lanjut, Hadi berkata usul memperkasa Mahkamah Syariah itu hanya membabitkan orang Islam dan tidak berkait dengan orang bukan Islam.
DAP bantah pindaan, tak ikut perlembagaan
DAP kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan pembentangan RUU persendirian mengenai RUU Mahkamah Syariah [Bidang kuasa jenayah] pindaan 2016 yang diusulkan oleh PAS. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menyifatkan ia tidak selari dengan perlembagaan persekutuan dan tidak wajar dibentangkan. Katanya, walaupun undang-undang itu dikatakan hanya untuk orang Islam, namun negara tidak boleh mempunyai dua sistem undang-undang yang berbeza untuk untuk rakyatnya iaitu untuk orang Islam dan bukan Islam.
"Pendirian kami dalam hal ini jelas, DAP tidak bersetuju dengan sebarang pindaan undang-undang yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Saya juga ingin tegaskan bahawa kami bukan anti-Islam atau anti undang-undang Syariah, tetapi hanya mahu mempertahankan prinsip yang tertera dalam Perlembagaan." katanya.
Pendirian komponen BN
Guan Eng juga ingin mengetahui pendirian komponen parti Barian Nasional [BN] seperti GERAKAN dan MCA berhubung isu itu. Katanya, mereka sebelum ini pernah berkata mahu keluar BN jika RUU persendirian itu dibentangkan di parlimen.
"Kini ia sudah dibentangkan, jadi bilakah mereka akan letakkan jawatan dan keluar daripada BN?" katanya.
Beliau juga meminta PKR menyatakan sendiri pendirian berhubung isu itu dan enggan menjawab bagi pihak parti GERAKAN.
Pendapat dari Presiden Persatuan Peguam Syarie [PGSM]
Semalam mungkin menjadi satu sejarah baharu kepada negara apabila Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah [bidang kuasa jenayah] 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Speaker Dewan Rakyat. Dari segi Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, RUU hanya akan dibahaskan setelah semua RUU kerajaan, selesai. Kelulusan ini bermaksud bahawa Bacaan Pertama RUU persendirian ini akan berada dalam senarai teratas untuk dibahaskan dalam sesi Sidang Dewan Rakyat akan datang. Pindaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang ini bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap kesalahan jenayah syariah, daripada hukuman sedia ada iaitu denda tidak melebihi tidak RM 5k / 3 tahun penjara / 6 kali sebatan / kombinasi mana-mana hukuman itu.
Akta Mahkamah Syariah [Bidang kuasa jenayah] 1965 pindaan 1984 / lebih dikenali sebagai Akta 355 telah menghadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan Mahkamah Syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan sahaja. Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan parlimen dan berkuat kuasa di seluruh negara. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen. Jika ada Dewan Undangan Negeri [DUN] meluluskan undang-undang berlawanan akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra vires dan terbatal setakat mana yang berlawanan. Ini termaktub dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dan umat Islam, kepemimpinan Perdana Menteri wajar mengadakan transformasi undang-undang jenayah syariah di negara ini, dengan meminda Akta 355 bagi memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah syariah. Suatu perkembangan yang baik apabila suatu RUU persendirian yang diusulkan oleh pihak pembangkang mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kerajaan. Perkembangan inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat apabila wakil rakyat yang dipilih dapat bekerjasama dalam mengutamakan perkara untuk kepentingan masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini. Masyarakat terutama bukan Islam, tidak perlu berasa gusar atau khuatir sekiranya pindaan Akta 355 ini dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat kerana ia sama sekali tidak menggugat masyarakat bukan Islam. Pindaan hanya akan membabitkan Mahkamah Syariah yang akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam sahaja dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Tak sentuh peruntukan Kanun Keseksaan
Pindaan juga tidak menyentuh perkara / kesalahan yang berada dalam peruntukan Kanun. Pindaan ini juga bukan undang-undang hudud sebagaimana yang diuar-uarkan oleh setengah pihak kerana hanya sebahagian sahaja daripada hukuman hudud yang boleh dilaksanakan iaitu yang tidak membabitkan kematian.
Hukuman potong tangan / rejam masih tidak boleh dilaksanakan walaupun setelah pindaan diluluskan oleh Dewan Rakyat. Menjadi harapan rakyat keseluruhan agar pindaan yang dicadangkan ini dapat diluluskan dengan jayanya.
Pindaan Akta tingkat kuasa Mahkamah Syariah
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan RUU Mahkamah Syariah [bidang kuasa jenayah] pindaan 2016 bukan mewujudkan undang-undang baharu , sebaliknya meningkatkan lagi kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah . Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan PAS mengemukakan usul meminda akta berkenaan untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah di negara ini.
"Pindaan RUU ini meningkatkan lagi fungsi Mahkamah Syariah dan hanya terpakai kepada orang Islam" katanya mengulas pembentangan usul berkenaan oleh Preseiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang di Dewan Rakyat, semalam.
Ketua penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata UMNO akan terus bekerjasama dengan PAS dalam perkara yang membawa kepentingan kepada orang Islam dan Melayu. Beliau ditemui di lobi Parlimen berkata, UMNO ingin membuktikan bahawa apabila membabitkan soal agama dan soal kepentingan kepada rakyat ia mampu ia mampu bekerjasama dengan sesiapa dan bukan soal kelompok kepartian.
"Dalam perkara yang kita lihat ada kepentingan kepada umat Islam, kita akan terus bekerjasana. Saya fikir tanggungjawab kita dalam politik juga kepada agama jadi dalam hal ini kita patut bekerjasama." katanya.
Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pula secara khusus mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kerajaan kerana membenarkan usul persendirian ini dibawa. Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika bangun mempertikaikan kewajaran RUU persendirian untuk RUU Mahkamah Syariah itu dibentangkan lebih-lebih lagi ia diberi ruang dikemukakan walaupun berada aturan mesyuarat ke-15. Beliau juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, turut mengaitkan pembentangan RUU itu untuk meraih undi menjelang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Loke menyatakan tidak membenarkan usul itu dibentangkan jelas mempunyai agenda politik di pihak kerajaan serta satu tindakan yang pelik kerana aturan urusan mesyuarat ke-25 didahulukan tanpa sebarang konsultasi daripada pihak pembangkang.