Stress? Rasa tiada siapa bersama-sama? Tekanan belajar ataupun kerja bertimbun dan merasakan diri sudah sampai ke penghujung? Akhirnya semua itu membuatkan diri rasa tersepit dan terhimpit? Rasa sunyi?
Ketahuilah bahawa kita tidak keseorangan. Sesungguhnya, kita tidak akan pernah sunyi. Mari kita lihat kehidupan yang lebih besar daripada kita ini. Sesungguhnya Allah menemani.
Melihat alam yang luas
Mari kita lihat pokok-pokok yang berada di dalam hutan. Yang tidak disiram ataupun dibaja oleh manusia. Bukanlah mereka itu hidup mekar dan tumbuh melata?
Mari kita lihat pula ikan-ikan di laut yang tidak diberi makan, jauh sekali dijaga oleh manusia. Bukan mereka itu hidup segar dan aktif sentiasa?
Mari kita lihat pula semut-semut yang tidak diternak ataupun disuap oleh manusia. Bukankah tiada antara mereka itu tidak mampu bergerak dan meneruskan kehidupan?
Mri kita kembali ke laut dan mellihat seekor haiwan bernama Paus. Saiznya yang besar pastinya memerlukan makanan yang banyak. Tetapi, apakah manusia menyediakan? Tidak. Namun, ikan paus tidak pernah mati kebuluran di tengah laut sekiranya ekosistemnya tidak terganggu.
Kita lihat ke awan, berkepul-kepul gebu putihnya. Mengapa ia tidak jatuh? Adakah manusia yang menjaganya? Dan kita kembali kepada diri ketika kita masih berada di dalam rahim ibu. Siapakah yang memberikan kita makan dan minum di dalam perut ibu? Apakah seorang ibu mampu menukarkan makanan yang dimakannya kepada khasiat-khasiat khas untuk bayi? Tidak. Jadi siapakah yang menjaga kita pada ketika itu? Itu dia Allah s.w.t.
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu), "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Ataupun siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah mengeluarkan makhluk yang hidup daripada benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati daripada makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam?" (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu), maka mereka yang musyrik tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata,
"Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "Jikalau kamu mengakui yang demikian, maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?" [Surah Yunus, ayat 31]
Allah yang menjaga semua itu. Dia wujud di sisi kita sentiasa.
Allah yang memberikan rezeki yang menjaga dan mengawal semua itu tadi, berada di sisi kita sentiasa.
"Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." [Surah Al-Baqarah, ayat 214]
"Sesungguhnya Aku amat dekat." [Surah Qaf, ayat 16]
"Dan sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." [Surah Qaf. ayat 16]
Tidakkah kita berasa selamat dan tenteram apabila mengetahui hal ini?
Cuma persoalannya, apakah kita berhubungan dengan-Nya?
Punca tekanan dan kesunyian yang sebenar
Dunia ini akan hancur. Harta akan habis. Anak dan isteri akan membesar dan tua. Juga mustahil untuk mereka memberikan masa 24 jam penuh kepada kita. Rakan-rakan juga datang dan pergi dan masing-masing ada urusan. Sekiranya kita meletakkan pergantungan utama pada perkara yang fana ini semestinya kita akan menghadapi tekanan dan berasa sunyi. Kita akan diserang rasa takut. Takut kehilangan.
Itulah masalah kita sebenar. Tidak mempunyai hubungan dengan Allah . Tidak bergantung dengan Dia , yang sebenarnya adalah solusi kepada permasalahan kita. Kita tidak taat kepada-Nya, kita melanggar perintah-Nya. Ketiadaan hubungan dengan Allah adalah punca permaslahan kita.
Penutup
Sesungguhnya rezeki itu ada. Bagi yang berusaha dan taat sesungguhnya bahagia itu ada. Bagi yang mendekati-Nya dan merapat.
"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah , Allah akan memberikannya jalan keluar Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." [Surah At-Talaq, ayat 2-3]
Dan (Tuhan berkata lagi), "Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi." [Surah Al-A'raf, ayat 96]