Rujuk dari segi bahasa bererti kembali. Manakala dari segi syarak pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu iddah yang bukan talaq ba'in. Rujuk adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu iddah isteri.
Dalil
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan suami-suami mereka lebih berhak untuk mengambil kembali [rujuk] akan isteri-isteri di dalam masa iddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian"
(Surah Al-Baqarah, 2:228)
Rukun
i. Sighah: lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan)
ii. Murtajik : suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu
iii. Isteri: perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.
Syarat
1. Suami
-seorang yang berakal
-baligh
-rela/kehendak sendiri tidak dipaksa
-tidak murtad
2. Isteri
-sudah dicampuri
-mestilah diceraikan dengan talak raji'e. Bukan daripada fasakh, khuluk dan talak tiga.
-hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.
3. Tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah rujuk dalam masa yang tertentu sahaja.
4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Rujuk disyariatkan adalah bertujuan untuk membolehkan pasangan yang telah bercerai dengan talaq rajie meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih dalam iddah tetapi perlu diingat bahawa rujuk hendaklah dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.
Prosedur
Jika selepas penceraian yang boleh dirujukkan (dalam iddah rajie) dan rujuk telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal perujukkan tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah berkenaan dalam tempoh 7 hari daripada tarikh perujukkan berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya dalam borang yang ditetapkan.
Bagi pihak yang ingin memohon rujuk atas persetujuan bersama semasa di dalam iddah rajie, pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah bersama isteri dan dua orang saksi lelaki. Setiap rujuk yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar hendaklah memastikan pemohon mengemukakan sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syariah berkaitan sebelum rujuk dijalankan.
Apabila Pendaftar berpuas hati bahawa rujuk tersebut berlaku secara sah dari segi hukum syarak, baharulah pendaftaran atau permohonan rujuk diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan, salinan resit pendaftaran kes penceraiannya di Mahkamah atau Sijil Cerai yang asal. Pendaftaran atau permohonan rujuk hendaklah dilakukan di hadapan Pendaftar dan setiap rujuk yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut akan diambil oleh Pendaftar berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam Buku Daftar Cerai Pendaftar.
Pemohon yang telah didaftarkan rujuk mereka akan diserahkan kepada mereka Surat Keterangan Rujuk (borang 2D) dan direkodkan di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Rujuk. Butir-butir perujukkan tersebut hendaklah dicatitkan dan disimpan oleh Pendaftar dalam Buku Daftar Rujuk (borang 2E). Mana-mana pihak yang tidak mendaftar persedudukan semula itu adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak lebih RM 500 / penjara tidak melebihi 6 bulan.
Jika penceraian itu tidak didaftarkan oleh pendaftar bagi qriah tadi, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan rujuk itu dan menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada pendaftar yang telah mengeluarkannya.