"Mengapa rumah kotor sangat? berbau pula."
"Alaa, biasa la. Rumah bujang."
Itu antara yang kita biasa dengar.
"Eh, tidak kemas rumah ke? serabut betul."
"Ingat rumah akhawat ke nak lawa-lawa?"
Satu lagi ayat yang biasa dilepaskan. Ya, sinonim dengan begini;
Rumah bujang = serabut/tunggang langgang/berterabur/1001 lagi gaya
Tidak semua rumah tetapi sebilangannya begitu. Dirasakan tidak penting menjaga kekemasan rumah. Pinggan dibiarkan bertimbun, sampah dibiarkan sampai terkeluar, tandas kotor, rumah dibiarkan bersepah, punya bau tidak enak. Alasannya adalah rumah bujang. Ini satu perkara yang saya kira saya dan mereka yang seangkatan perlu ubah. Hal ini kerana, kita mahu menjadi bujang yang beriman. Bukan calang-calang bujang yang ada di dunia ini.
Kebersihan itu tuntutan
Menjaga kebersihan adalah tuntutan Islam. Kebersihan rohani, mahupun zahiri. Allah itu cantik dan sukakan pula kecantikan. Rasulullah ada menyatakan :
"Allah itu cantik, dan Allah itu sukakan kecantikan."
[Hadis direkod oleh At-Timizi dan Muslim]
Kita pula adalah hamba kepada Rabb yang Maha Teratur dan Suci. Kita menyatakan bahawa kehidupan adalah ibadah kepadaNya.
"Tidak sesekali Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (kepadaKu)"
Surah Az-Zariyat, ayat 56
Maka, apakah pantas kita beribadah dalam keadaan kotor? Rumah adalah medan ibadah sebenarnya. Mihrab untuk mereka yang faham bahawa 24 jam kehidupan itu adalah ibadah. Belajar ibadah, berhubungan dengan rakan-rakan itu ibadah, hatta bermain games juga ibadah jikalau kena masa dan keperluannya. Apakah pantas tempat ibadah kita bersepah-sepah? Tambahan apabila tetamu datang secara mengejut ataupun rakan lain datang menjenguk, melihat rumah kita tunggang langgang, reaksi mereka kepada kita pastinya jatuh ke tahap yang rendah.
Lebih-lebih lagi jikalau kita sebelum ini adalah pelajar agama ataupun orang yang mengikuti usrah.
Kekotoran mengurangkan sensitiviti
Kotor. Kita tengok perkataan itu pun kita dapat merasai aura kejijikannya. Saya ceritakan satu kisah benar. Dahulu saya tinggal di asrama. Asrama saya itu asrama baru yang cantik. Namun sikap ahli asramanya yang tidak endah, lantas tidak menjaga kebersihan. Sampai ke satu tahap asrama itu menjadi busuk. Namun masih tiada siapa membersihkan keadaan. Suatu waktu, bau busuk itu sudah hilang dari hidung saya.
Sampailah tiba seorang senior dari asrama lain datang berziarah. Mukanya keruh sambil berkata:
"Eh, mengapa asrama antum ini busuk sangat?"
"Apa yang busuknya? Tidak bau pun." Saya membalas dengan perasaan terkejut.
"Ya Allah, antum sudah lama sangat duduk dalam keadaan kotor ini sampai sudah tidak boleh bau busuk" katanya.
Ketika itu saya sedar betapa suasana kotor itu merasuk jiwa saya mengurangkan sensitiviti ahli asrama saya sehingga bau busuk pun sudah dianggap sebagai bau yang biasa. Begitulah dengan rumah bujang. Kekotoran sehari-hari akan melemahkan ketajaman jiwa kita. Hati akan menjadi kurang sensitif dengan keadaan sekeliling dan kurang pula sensitif dengan kerosakan ummat yang berlaku. Hal ini kerana jiwa sudah tumpul. Kekotoran adalah biasa. Kebersihan pula menjadi luar dari biasa.
Imej Islam
Sebenarnya tiada istilah rumah bujang dalam Islam. Yang ada ialah istilah rumah orang beriman. Maka, kita sepatutnya berusaha menggerakkan rumah-rumah kita ke arah itu. Bagaimanakah keadaan rumah mereka yang beriman kepada Allah? semestinya bersih dan teratur. Hal ini kerana mereka yakin bahawa Allah melihat mereka selama 24 jam, tujuh hari seminggu.
Imej Islam juga tertanggung di pundak kita. Rumah mencerminkan kehidupan seharian kita. Walaupun kita bukan orang yang selekeh, bukan orang yang tidak menepati masa, bukan orang yang berperangai buruk, apabila ada orang melihat keadaan rumah yang tunggang-langgang imej kita automatik tercalar. Lebih buruk lagi, imej Islam juga terpalit dengan kekotoran kita.
"Eh, ini ke rumah orang Islam?"
Bayangkan.
Persediaan menjadi ketua keluarga
Penting bagi orang bujang merasai kepentingan mengemas rumahnya, menjadikan rumahnya bersih dan teratur kerana dia akan menjadi ketua kepada keluarga. Satu konsep yang perlu sebagai orang lelaki kena ubah adalah;
"Kerja rumah adalah kerja perempuan"
Ini satu kesilapan dalam kehidupan seorang mukmin. Inilah yang terjadi, dalam kebanyakan keluarga harini. Suami tidak mengendahkan perihal kebersihan rumah, kekemasan rumah dan menyerahkan segala-galanya kepada isteri. Jikalau orang bujang tidak belajar mendidik diri dari saat bujangnya [saat mendapat bilik di universiti, rumah sewa ketika masa belajar] dan mendidik dirinya berdisiplin dalam menjaga kebersihan luaran dan dalaman, maka ketika berumah tangga dia akan terbawa-bawa kehidupan bujangnya.
Isteri zaman hari ini, ramai yang bekerja. Bayangkan sudah berpenat bergadang dengan masalah di tempat kerja, balik rumah perlu pula mengemas, memasak dan sebagainya. Lebih menyakitkan hati, suami kerjanya membuat sepah sahaja. Pakai barang tidak letak balik, apabila bersepah sekadar biarkan. Agak-agak bagaimana kehidupan suami isteri yang begini?
Ini satu kepincangan. Hendak mencegahnya, orang bujang perlu mulakan latihan dari waktu bujangnya agar dia mampu menjadi suami yang baik dan tidak menyusahkan. Suami yang penyayang dan menyenangkan. Baru isteri bahagia, anak-anak juga ceria. Jikalau hendak cemerlang dalam peperiksaan, kita perlukan persediaan yang rapi. Saya tidak nampak pula mengapa hendak membina rumah tangga yang Allah redha, tidak perlukan persediaan.
Wahai lelaki, isteri kamu itu juga manusia. Maka orang bujang apa lagi? belajarlah mengemas rumah menjaga kekemasan dan menjadikan rumah kamu rumah yang teratur. Bukankah kita ini bujang yang beriman?
Penutup
Sebenarnya amat penting perkara ini. Selain mempunyai kaitan dengan ibadah, ketajaman hati ia juga adalah perkara yang akan bawa ke masa hadapan. Ya, jikalau kita boleh buat tidak tahu sahaja dengan kekotoran rumah yang kita duduk, bagaimana agaknya kita hendak rasa sensitif dengan keadaan masyarakat? mungkin jangan kata masyarakat, keluarga kita nanti pun tidak kisah. Jadi saya tidak nampak tajuk ini enteng sebab saya tidak rasa lelaki bujang perlu hidup dengan akta kebujangan. Kita sepatutnya hidup dengan peraturan Allah. Hal ini kerana kita mengejar keredhaan Allah dalam kehidupan kita. Allah sukakan kebersihan, kecantikan. Rasulullah juga tidak pernah dilaporkan sebagai seorang yang tidak terurus dan kotor. Apakah ada sebab yang lebih baik daripada itu untuk kita bergerak menjaga kebersihan? Orang bujang. Sudah tiba masanya memanifestasikan keimanan.